Peralihan qiblat telah berlaku
sebanyak dua kali.
1. Peralihan
dari Ka’abah ke Masjidil Aqsa
2. Peralihan
semula dari Masjidil Aqsa ke Ka’abah.
Peristiwa ini berlaku pada zaman
Madinah. Merujuk kepada Fi Zilalil Qur’an, menyatakan tiada riwayat yang qat’i
mengenai peristiwa peralihan qiblat dari Ka’abah ke Masjidil Aqsa dan tiada
satu ayat yang menerangkan sejarah peralihan ini secara terperinci.
Namun daripada riwayat-riwayat yang
ada, dapatlah dibuat kesimpulan secara umum; selepas Hijrah kaum Muslimin
mengarahkan qiblat mereka ke Baitul Maqdis dengan perintah Ilahi kepada
Rasulullah saw. Perintah ini kuat dipercayai bukanlah perintah menerusi
al-Qur’an. Kemudian ayat 144 dari surah al-Baqarah telah memansukhkan perintah
ini.
Setengah riwayat menyatakan
perubahan ini adalah hasil pujukan segolongan Kaum Yahudi kepada Rasulullah saw
dengan alasan bahawa kota itu adalah suatu tanah suci yang telah disediakan
oleh Allah bagi tempat kediaman para Rasul-Nya; “Maka jika engkau itu
benar-benar seorang Rasul Tuhan, wahai Muhammad, hendaklah engkau berdiam di
tanah suci itu, menurut jejak para Rasul Tuhan yang terdahulu daripada engkau.”
Sebelum kelahiran Rasulullah saw,
nabi-nabi tinggal di rumah ibadat di Baitul-Maqdis.
Justeru itu, Rasulullah saw hanya
menghadap mukanya ke Baitul-Maqdis ketika solat dengan keizinan Allah swt
bebanding terus tinggal di sana.
Keadaan awal Madinah(Yastrib)
Sebelum kedatangan Rasulullah saw,
Madinah dan penduduk di sekitarnya terutama dua kaum majoriti di situ iaitu
kaum Aus dan kaum Khazraj menguasai perkampungan Madinah. Malangnya
mereka sering bertelingkah dan berperang antara satu sama. Ada
riwayat menyatakan, walaupun pertelingkahan mereka berlangsung lebih kurang 120
tahun lamanya, namun tiada penyelesaian.
Kaum Yahudi pula terbahagi kepada
tiga golongan iaitu Banu Quraidhah, Banu Nadhir dan Banu Qainuqa’. Walaupun
pada peringkat awal mereka hanya menumpang di Madinah, oleh kerana kecerdikan
dan kekayaan harta, mereka dapat mempengaruhi penduduk Madinah.
Kaum Khazraj telah mendapat bantuan
daripada kaum Yahudi Banu Nadhir dan Qainuqa’. Manakala kaum Aus mendapat
bantuan daripada kaum Yahudi Banu Quraidhah.
Selepas kedatangan Islam, kaum Aus
dan Khazraj mula bersatu. Kepimpinan Islam mula berkembang luas dan sukar
dibendung lagi. Oleh itu, ketiga-tiga golongan kaum Yahudi mula bersatu dan
cuba menghalangi pengaruh Islam yang cepat tersebar. Menyedari tindakan
orang-orang Yahudi ini, Rasulullah saw membuat satu perjanjian damai dengan
mereka supaya dapat sama-sama hidup dengan aman walaupun berlainan pegangan.
Walaupun perjanjian itu disambut
baik, tetapi secara diam-diam kaum Yahudi dan kaum munafiq memusuhi Islam. Kaum
Yahudi memusuhi Islam kerana kedengkian. Mereka bimbang tipu daya mereka dalam
beragama akan terbongkar. Mereka bimbang pengaruh dan kependetaan mereka
lenyap. Lalu mereka mengejek dan mencerca Rasulullah saw dan
pengikut baginda. Malah mereka sanggup mengubah kitab Taurat untuk kepentingan
hujjah mereka.
Tambahan lagi,disebalik perdamaian
yang diterima oleh kaum Yahudi, mereka sebenarnya berhasrat kaum Muslimin dapat
bersama mereka menentang kerajaan Nasrani yang telah berkuasa di Baitul-Maqdis
dan telah menghalau mereka dari kota suci itu. Namun sia-sia, malah kerajaan
Islam telah mendahului pengaruhnya berbanding kerajaan Nasrani. Oleh itu mereka
telah melanggar perjanjian damai ini. Sebaliknya memusuhi Islam secara
terang-terangan dengan apa cara sekalipun demi mengembalikan aqidah orang Islam
kepada agama mereka.
Manakala kaum
munafiq dari golongan Khazraj pula memusuhi Islam kerana sakit hati
disebabkan tidak dapat menjadi pemimpin utama di Madinah. Islam tampak
menyerlah dan mereka mula ditinggalkan.
Dalam pada permasalahan kaum Yahudi
dan kaum Munafiq berkecamuk membebani Rasulullah saw, datang pula kumpulan
Nasrani Najran ke Madinah untuk mengambil kesempatan meluaskan pengaruh mereka
di Jazirah Arab. Mereka telah datang kepada Nabi saw seramai 60 orang dengan
berpakaian mewah dan membawa hadiah-hadiah seperti karpet berbulu dari Yamen.
Mereka telah mempersoalkan ketuhanan Nabi ‘Isa a.s. Masing-masing
mempertahankan kepercayaan mereka bahawa Nabi ‘Isa a.s itu putera Tuhan dan
terdapat tiga Tuhan.
Perubahan qiblat dan fitnah yang dihadapi.
Persoalan mengadap qiblat kearah
Baitul-Maqdis, iaitu qiblat bagi kaum Yahudi dan Nasara telah menjadi punca
alasan kepada kaum Yahudi untuk menolak kemasukan mereka ke dalam agama Islam
kerana orang Islam telah mengiktiraf qiblat mereka. Ini menunjukkan bahawa
agama mereka adalah benar. Qiblat mereka adalah yang sebenar dan merekalah yang
asal. Orang Islam sepatutnya berpegang kepada agama mereka. Inilah hujjah
mereka untuk meragu-ragukan pengikut Nabi Muhammad saw dan penduduk sekitarnya.
Bagi kaum Muslimin pula, perubahan
ini adalah suatu yang sangat sukar bagi mereka. Sejak dilahirkan mereka
memuliakan Baitullah dan berqiblatkannya. Ditambah lagi dengan hujjah kaum
Yahudi yang meragukan itu.
Oleh yang demikian, Rasulullah saw
seringkali menengadah mukanya ke langit bertawajjuh kepada Allah tanpa sepatah
kata kerana menjaga adab sopannya terhadap Allah swt dan menunggu arahan-Nya
yang menyukakan baginda.
Kemudian turunlah ayat
al-Baqarah:144
“Sesungguhnya Kami melihat
engkau kerapkali menengadah mukamu ke langit, dan sesungguhnya Kami berkenan
memalingkanmu kearah qiblat yang disukaimu. Oleh itu hadapilah mukamu kearah
Masjidil-Haram, dan di mana sahaja kamu berada, maka halakanlah muka kamu ke
arahnya.”
Peristiwa ini berlaku di
dalam bulan yang ke 16 atau ke 17 Hijrah. Menurut riwayat yang
masyhur, ketika itu Nabi saw sedang mengerjakan solat ‘Asar bersama
sahabat-sahabatnya. Dan ketika itu juga Nabi saw memalingkan mukanya ke
Baitullah. Sekalian sahabat-sahabat yang menjadi ma’mum ketika itupun lalu ikut
apa yang dilakukan oleh Nabi saw.
Sekali lagi kaum Yahudi di Madinah,
kaum Munafiqun dan kaum Musyrikin di Makkah gempar dan menabur fitnah. Kaum
Yahudi sebenarnya terasa terkilan dengan pertukaran semula qiblat ini kerana tiada
lagi hujjah kukuh yang selama ini menjadi alasan mereka dalam menunjukkan
keangkuhan dan kesombongan mereka. Pendeta Yahudi telah datang berjumpa dengan
Rasulullah saw seraya berkata;
“Ya Muhammad, mengapa engkau
sekarang pindah qiblat yang telah engkau hadapi, padahal engkau katanya seorang
nabi yang mengikut agama Nabi Ibrahim? Tetapi sekarang terbukti menyalahi
qiblat Nabi Ibrahim dan nabi-nabi dari Bani Israil dahulu, maka dari itu
kembalilah menghadap ke Baitul-Maqdis, nanti kita akan mengikut dan membenarkan
seruanmu.”
Kaum Musyrikin di Makkah pula
berkata;
“Muhammad ini memang selamanya
tidak mempunyai pendirian yang tetap. Nanti dia kembali semula berqiblatkan
Baitul-Maqdis. Siapa yang ikut dia adalah orang yang bodoh.”
Kaum Munafiqun berkata;
“Kalau qiblat yang dihadapi oleh
Muhammad yang dulu itu benar, maka qiblat yang sekarang ini salah. Jika qiblat
yang dahulu itu salah, maka qiblat yang sekarang ini yang benar. Tetapi mengapa
dia tidak menyatakan yang sebenarnya kepada kita?”
Kaum Yahudi menimbulkan lagi
keraguan kepada kaum Muslimin dengan kata-kata;
“ Jika menghala ke qiblat
Baitul-Maqdis tidak itu tidak sah, maka solat kamu di sepanjang masa ini
tentulah sia-sia sahaja. Dan jika penghalaan ke qiblat Baitul-Maqdis itu benar,
maka penghalaan yang baru ke Masjidil-Haram itu adalah tidak benar dan ia akan
menghilangkan pahala segala solat kamu yang menghadap ke arahnya.”
Mereka berkata lagi; “
Pemansukhan dan perubahan perintah-perintah atau ayat-ayat itu tidak
sekali-kali terbit dari Allah. Inilah bukti bahawa Muhammad tidak menerima
wahyu dari Allah.”
Penghinaan semua ini dijawab oleh
Allah swt dengan berfirman;
“Orang-orang bodoh (yang kurang
akal pertimbangannya) akan berkata: Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang
Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini? Katakanlah
(wahai Muhammad): Timur dan barat adalah kepunyaan Allah (maka ke pihak mana
sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah yang
memberikan petunjuk hidayatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang
lurus. (142) Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan
yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan
lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat
manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan
menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat
kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya
dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan
pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta
membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada
kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat
berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah
petunjuk hidayat” –QS al-Baqarah:142-143
Kemudian, pada suatu ketika Nabi
saw mendapat pertanyaan dari sebahagian sahabat-sahabatnya;
“Ya Rasulullah bagaimana hukum
mereka(sahabat-sahabat) yang telah meninggal lebih dahulu sebelum terjadi
pindah semula qiblat ini? Apakah amal mereka yang sudah-sudah diterima oleh
Allah?”
Pada waktu itu Rasulullah saw tidak
memberi jawapan atas pertanyaan mereka tadi, kemudian Allah swt menurunkan
wahyu-Nya;
“Dan tidaklah Allah akan
menyia-nyiakan iman kamu, kerana sesungguhnya Allah itu pada manusia Penyayang
lagi Pengasih.” – QS al-Baqarah:143
Pengajaran daripada peristiwa
ini:
1. Peristiwa
ini merupakan satu peristiwa yang besar di dalam sejarah pertumbuhan jama’ah
Muslimin dan ia mempunyai kesan yang besar di dalam kehidupan mereka.
2. Arah atau
tempat menghadap untuk solat itu hanyalah lambang-lambang kelainan dan
pengkhususan. Kelainan dan khusus dalam pemikiran, kefahaman, sahsiah, matlamat
, minat, cita-cita dan identiti.
3. Allah swt
inginkan Baitullah sebagai rumah suci Allah, bukan rumah suci bagi orang-orang
Arab yang ditokok tambah sifat dan cirinya. Maka berlaku penyucian hati dan
matlamat bagi kaum Muslimin dengan peristiwa ini.
4. Perubahan
qiblat yang pertama, dari Ka’abah ke Masjidil-Aqsa adalah suatu pendidikan yang
ditunjukkan oleh sepotong ayat;
“ (Sebenarnya
kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau
mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi
melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul
serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada
kekufurannya)” – QS al-Baqarah:143
Orang Arab sentiasa memuliakan
Baitullah di zaman Jahiliyah. Ia adalah lambang kemuliaan bangsa mereka. Dengan
peristiwa ini, Allah swt ingin membersihkan hati mereka
supaya bulat kepada Allah semata-mata. Bersih dari kemegahan
perkauman dan semangat fanatik bangsa. Menghilangkan penyakit asobiyah
Jahiliyah.
5. Apabila
perintah kembali berqiblatkan Baitullah, ini mematahkan hujjah kaum Yahudi
tentang kebenaran mereka. Umat Musliminlah yang menjadi pewaris janji Allah
dengan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s.
6. Peristiwa
ini sebagai peringatan kepada Rasulullah saw dan umat Islam keseluruhannya
supaya jangan sekali-kali mengikuti kemauan kaum Yahudi dan Nasara dan jangan
sekali-kali terpengaruh dengan pemikiran mereka yang menarik. Bahkan tidak usah
menaruh harapan kepada mereka untuk beriman dan mengikut agama Islam.
Sesungguhnya mereka sudah mengakui kebenaran Nabi Muhammad saw tetapi memang
sengaja mereka ingkar.
“Dan demi jika engkau datangkan
pada orang-orang yang telah diberi Kitab dengan tiap-tiap keterangan, niscaya
mereka tidak juga mengikut qiblat engkau, dan engkau pun tidak akan mengikut
qiblat mereka; dan tidak pula sebahagian mereka akan mengikut qiblat sebahagian
yang lain. Dan demi jika engkau mengikut kemauan mereka itu, sesudah datang
kepada engkau ilmu pengetahuan, sesungguhnya engkau seketika itu termasuk
daripada golongan orang-orang yang menganiaya.” – QS al-Baqarah:145
7. Kaum
Muslimin mestilah sentiasa berwaspada terhadap gerak-geri dan langkah-langkah
mereka terhadap kelicikan mereka memutar belitkan ayat-ayat Allah swt. Mereka
mempunyai sifat-sifat munafiq.
“Apakah kamu berangan-angan
bahawa mereka akan beriman kepada kamu, sedangkan segolongan dari mereka telah
pun mendengar kalam Allah kemudian mereka ubahkannya setelah mereka
memahaminya, sedangkan mereka tahu.” – QS al-Baqarah:75
8. Dakwah
Islam bukanlah dakwah fanatik. Sebaliknya ia memperjuangkan kesatuan umat di
atas asas Islam semata-mata untuk kebaikan dan kebenaran.
9. Umat
Islam mestilah menunjukkan identiti sendiri. Qiblat yang tersendiri, sahsiah
yang tersendiri, mempunyai keistimewaan dan tidak perlu mematuhi sesiapa
kecuali kepada Allah swt yang telah memilih mereka sebagai khalifah.
“Selamanya kaum Yahudi dan kaum
Nasrani tidak akan berpuas hati sehingga engkau mengikut agama mereka.
Katakanlah; Sesungguhnya hidayat Allah itulah hidayat yang sebenar. Jika engkau
mengikut kehendak nafsu mereka setelah datang kepadamu ilmu yang sebenar, maka
tiada lagi pelindung dan penolong yang dapat menyelamatkan engkau dari ‘azab
Allah.” – QS al-Baqarah:120
Wallahu’alam
Comments
Post a Comment